Thursday, November 14, 2013

Hidup Adalah Satu Ujian

Hidup adalah satu ujian. Ujian didunia adalah ujian yang bersifat sementara namun ujian itu bukanlah mudah untuk ditangani atau dihadapi tanpa kekuatan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Semenjak kita lahir kedunia kita sudah pun diuji kerana kita adalah manusia yang merupakan seorang hamba kepada Yang Maha Esa…tidak diciptakan kamu wahai Jin dan Manusia kecuali untuk memperhambakan diri kepada Allahu Azza Wa Jalla.

Setiap ujian yang dilalui oleh setiap manusia adalah berbeza-beza namun matlamat dan asasnya adalah sama…yakni ujian keatas keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Ujian keatas setakat mana redhanya kita kepada Qada dan QadarNya. Ujian yang menentukan samada kita berjaya didunia dan lebih-lebih lagi diakhirat nanti. Bagaimana kita menghadapi setiap ujian itu yang menentukan samada kita berjaya atau gagal…bukannya kita berjaya atau tidak menyelesaikan masalah hidup kita!

Tidak perlu saya nyatakan satu persatu bentuk ujian yang telah, sedang dan akan kita hadapi selama hayat kita…kerana kita semua telah maklum, kecualilah kita seorang yang tidak waras ataupun gila. Sebagai seorang hamba yang mukallaf yang penting sekali apabila kita diuji, kita perlu 'alert' dan 'aware' bahawa kita sedang diuji oleh Allah SWT. Kita perlu sedar dan waspada akan segala bentuk ujian keatas hati kita agar kita kembali merujuk kepada Allah SWT yang sedang menguji hati dan keimanan kita sebagai seorang yang beriman.

Selagi kita bergelar insan atau manusia selagi hayat dikandung badan, selagi itu kita akan diuji. Kita bukanlah malaikat yang imannya bulat dan sentiasa taat kepada segala perintah Allah. Iman didalam hati kita sedang diuji oleh berbagai perkara samada berbentuk fizikal, material, emosional ataupun oleh makhluk yang bernama Iblis dan Syaitan. Suatu perkara yang kita perlu ingat adalah tanpa Iman dan Ilmu kita tidak mungkin dapat menghadapi segala bentuk ujian diatas muka bumi ini. Ataupun dalam ertikata yang ringkas adalah tanpa agama maka kita tidak mungkin dapat menghadapi segala ujian yang bertimpa-timpa kepada kita.

Ya…kita tidak perlu melihat orang sekeliling kita. Lihatlah diri kita sendiri..kita sekarang sedang diuji dan siapa yang sedang melihat kita….Allah SWT dan Malaikat yang mencatat segala amalan kita sedang memerhatikan segala tindak-tanduk dan gerak-geri kita. Jika kita tidak malu kepada manusia atau masyarakat malulah kepada Allah SWT yang menciptakan kita dan memberi segala nikmat yang kita sedang gunakan. Ujian itu tidak semestinya bersifat kesusahan, musibah atau penderitaan tetapi segala kesenangan dan kemewahan juga adalah ujian keatas manusia. Siapakah diantara kita yang bersabar dan bersyukur kepada segala yang ditentukan oleh Allah SWT?

Apa yang harus kita buat apabila kita sedang diuji? Adakah kita hanya membiarkan sahaja tanpa perlu berusaha untuk menghadapi ujian itu dan berharap ia akan pergi dengan sendiri? Ujian akan datang dan pergi namun apakah setiap ujian yang datang dan pergi itu mendekatkan kita kepada Allah SWT ataupun kita semakin jauh daripada rahmatNya?

Dunia begitu singkat dan sementara. Bersabarlah…dan bersyukurlah kerana kematian akan datang menjemput kita bila-bila masa sahaja dan berakhirlah ujian hidup ini dan selepas itu akan bermulalah ujian yang lebih hebat dan dahsyat. Kembalilah kepada Allah dan beribadatlah kepadaNya dengan penuh khauf dan roja' ataupun takut dan harap. Takut kepada segala dosa yang akan dibalas dan harap kepada ganjaran diatas segala amal soleh kita.

Yakinlah…Iman kita yang walaupun sebesar zarah itu yang diuji oleh Allah SWT akan diberi ganjaran yang amat besar diakhirat nanti….Syurga yang seluas jarak antara langit dan bumi akan diberi kepada setiap hamba Allah yang mati membawa iman yang tulen kepadaNya. Wahai manusia…bertaqwalah kepada Allah. Mintalah pertolongan dan petunjuk daripadaNya. Menangislah atas segala dosa dan kesilapan, bertaubatlah dengan taubat yang sebenarnya dan matilah kamu dengan membawa iman yang sempurna dan amal yang soleh sebagai bekalan diakhirat nanti.

0 comments:

Post a Comment

Thanks For Your Honest Comment. I appreciate it ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...