Tuesday, November 19, 2013

Dunia

Setiap hari bila kita bangun dari tidur apa yang kita selalu fikir? Kalau seorang surirumah akan fikir nak masak apa. Kalau seorang peniaga fikir bagaimana hendak meningkatkan jualan pada hari itu. Seorang petani akan fikir bagaimana hendak menjalankan aktiviti pertaniannya agar bertambah maju. Seorang pelajar akan berfikir bagaimana hendak mengulangkaji pelajaran dan berjaya dalam peperiksaan. Kesimpulannnya kita semua apabila bangun dari tidur, fikir yang ada dalam otak kita adalah fikir dunia. Itu yang selalu atau kebiasaannya bagi mereka yang normal, kalau orang gila tak tahulah apa yang ada dalam fikiran mereka?

Setiap hari apabila kita bangun dari tidur, pergi belajar atau bekerja samada dirumah, dipejabat, disekolah, dikedai, diatas kapal terbang, dipasar atau dimana jua didalam fikiran kita sentiasa dipenuhi agenda bagaimana hendak menjadi seorang yang berjaya didunia. Kita mahu menjadi semakin kaya, mewah dan mengumpulkan harta sebanyak mungkin sebelum kita tua. Setiap hari kita berangan mahu kaya, kita usaha sungguh, kita simpan wang, kita buat pelaburan dan kita lihat penyata kewangan kita setiap hari dan lihat angka dalam simpanan kita.

Walaupun fikir ini tidak salah dari segi hukum dan syarak namun fikir ini adalah fikir yang sempit dan tidak berfikir panjang. Kerana apa? Kerana dunia ini adalah sementara dan kita semua tahu bahawa kita akan meninggalkan dunia ini dan segala apa yang kita miliki akan kita tinggalkan. Apabila kita masuk kedalam kubur kita hanya membawa bersama kita sehelai kain kapan untuk dililit ditubuh kita. Segala apa yang kita telah usaha selama ini akan menjadi milik orang yang kita tinggalkan. Memang berguna untuk mereka tetapi untuk kita adalah tiada yang berguna melainkan ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan anak yang soleh.

Kita sentiasa rasa tidak pernah cukup dari segi keduniaan dan sentiasa mahu mengubah tahap dunia kita menjadi semakin baik dari hari kehari. Itu yang kita fikir, kita cakap dan kita usahakan setiap hari. Namun selalukah kita fikir bagaimana aku mahu meningkatkan ilmu agama, iman dan amal ibadat kita kepada Allah SWT. Dari sudut agama, kita selalu merasa cukup dan puashati serta tidak mahu berusaha untuk memperbaiki mutunya dan meningkatkan iman dan amal kita. Kita berasa senang walaupun kita masih ditahap yang sama dan ditakuk yang lama.

Dari segi dunia kita akan bandingkan dengan orang yang lebih hebat dan lebih kaya berbanding kita dan kita bercita-cita menjadi seperti mereka. Merekalah idola kita, merekalah mentor atau sifu kita dan kita mahu mengikut jejak langkah mereka. Bagi kita jika mereka mampu kita juga mampu. Tiada yang mustahil dengan keazaman, kegigihan dan usaha yang berterusan. Kita akan berkorban tenaga dan masa yang banyak untuk menjadikan impian kita satu kenyataan. Sampai bila kita akan puas hati, kita sendiri tidak tahu. Kita lihat mereka yang sudah ada sejuta ringgit mahukan sepuluh juta. Yang sudah millionaire mahu pula menjadi billionaire, bagi mereka kekayaan itu tiada hadnya.

Betul apa yang Nabi SAW bagitahu, kalau seorang itu mempunyai segunung emas pun, pasti dia akan mahu sebuah gunung emas lagi, Dia tidak akan puas sehinggalah tanah dimasukkan kedalam mulutnya, bererti sehingga dia masuk kedalam kubur. Itulah hakikat dunia yang penuh tipudaya, kalau kita tertipu dan tenggelam dalam arus dunia maka kita akan menyesal diakhirat nanti. Perkara yang patut kita selalu fikir, cakap dan usaha adalah agama dan akhirat kerana itulah yang kekal dan akan kita bawa bersama apabila kita mati. Namun kita sentiasa membandingkan dengan mereka yang lebih rendah apabila masuk bab agama atau ibadat. Sepatutnya kita membandingkan dengan mereka yang lebih hebat barulah kita akan sentiasa berusaha meningkatkan tahap ilmu, iman dan amal kita agar kita berjaya dari ertikata sebenarnya didunia dan diakhirat.

Tidak salah berusaha untuk dunia, namun jika kita tidak mampu lebihkan akhirat berbanding dunia, maka kita harus menyeimbanginya. Dan yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, dunia yang lebih dan bekalan untuk akhirat amat kurang masa dan harta yang kita beri sedangkan akhirat itu kekal dan tempat tinggal bagi kita buat selama-lamanya.

0 comments:

Post a Comment

Thanks For Your Honest Comment. I appreciate it ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...