Wednesday, May 25, 2016

ADAB-ADAB MENZIARAHI KUBUR.


1- Memahami objektif menziarahi kubur:

A) Untuk mengingati kematian.

Daripada Buraidah radiallahu 'anhu, Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا
Aku pernah melarang kalian daripada menziarahi kubur, sekarang ziarahilah ia.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Isti'zan an-Nabiyy sallallahu 'alaihi wa sallam Rabbahu Fi Ziarah al-Qubur, hadis no: 977]

Dalam riwayat At-Tirmizi disebutkan:

فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الآخِرَةَ
Sesungguhnya ia (iaitu menziarahi kubur) akan mengingatkan diri kepada akhirat. [Jami' at-Tirmizi, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Jaa Fi ar-Rukhsah Fi Ziarah al-Qubur, hadis no: 1054, hasan sahih]

B) Untuk mendoakan si mati.

Oleh kerana itu kita disuruh untuk memberi salam apabila masuk ke kawasan perkuburan.

Daripada Buraidah radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam pernah mengajar sahabat-sahabat apabila mereka keluar untuk pergi ke tanah perkuburan untuk membaca:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.
Kesejahteraan ke atas kalian wahai penduduk tempat ini daripada kalangan orang beriman dan muslim. Sesungguhnya kami, Insya-Allah, akan menyertai kalian. Aku memohon kepada Allah kesejahteraan untuk diri kami dan diri kalian.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Yuqal 'Inda Dukhul al-Qubur wa ad-Dua' li Ahliha, hadis no: 975].

'Aisyah radiallahu 'anha pernah mengekori Nabi sallallahu 'alaihi wa salam pada waktu malam sehingga tiba di perkuburan Baqi', 'Aisyah radiallahu 'anha menceritakan:

ثُمَّ انْطَلَقْتُ عَلَى إِثْرِهِ حَتَّى جَاءَ الْبَقِيعَ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Kemudian aku mengikut jejak baginda sehingga baginda tiba di Baqi'. Baginda berdiri dengan lama kemudian baginda menadah tangannya sebanyak tiga kali.

Apabila kembali ke rumah, Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam berkata kepada 'Aisyah:

فَإِنَّ جِبْرِيلَ أَتَانِي حِينَ رَأَيْتِ فَنَادَانِي فَأَخْفَاهُ مِنْكِ فَأَجَبْتُهُ فَأَخْفَيْتُهُ مِنْكِ وَلَمْ يَكُنْ يَدْخُلُ عَلَيْكِ وَقَدْ وَضَعْتِ ثِيَابَكِ وَظَنَنْتُ أَنْ قَدْ رَقَدْتِ فَكَرِهْتُ أَنْ أُوقِظَكِ وَخَشِيتُ أَنْ تَسْتَوْحِشِي فَقَالَ .
Sesungguhnya Jibril datang kepada aku ketika engkau melihat aku. Jibril memanggil aku dan aku merahsiakannya daripada engkau. Aku menyahut panggilannya akan tetapi aku merahsiakan hal itu daripada engkau. Jibril tidak masuk menemui engkau kerana ketika itu engkau dalam keadaan tidak berpakaian. Aku pula menyangka engkau telah tidur jadi aku tidak suka untuk mengejutkan engkau kerana aku risau engkau akan berasa takut. Jibril menyatakan kepada aku:

إِنَّ رَبَّكَ يَأْمُرُكَ أَنْ تَأْتِيَ أَهْلَ الْبَقِيعِ فَتَسْتَغْفِرَ لَهُمْ "
Sesungguhnya Tuhan mu menyuruh kamu untuk pergi kepada penghuni Baqi' dan memohon keampunan untuk mereka.

'Aisyah pun bertanya:

كَيْفَ أَقُولُ لَهُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ
Bagaimana caranya untuk aku mendoakan mereka ya Rasulullah?

Baginda menjawab: Sebutlah:

السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلاَحِقُونَ
Kesejahteraan kepada penghuni tempat ini daripada kalangan orang beriman dan Islam. Semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami dan mereka yang akan datang kemudian. Sesungguhnya kami, Insya-Allah, akan menyertai kalian.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Yuqal 'Inda Dukhul al-Qubur wa ad-Dua' li Ahliha, hadis no: 974]

Huraian:

Oleh kerana itu perbuatan kita di tanah perkuburan mestilah melambangkan kita sedang mengingati kematian dan berdoa untuk si mati. Kubur bukanlah tempat berhibur, bergurau senda, bermain gendang, menyanyi, dan lain-lain. Ini semua hanya menunjukkan kita tidak menepati objektif menziarahi kubur.

2- Tidak duduk di atas kubur.

Abu Hurairah radiallahu 'anhu meriwayatkan, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ
Duduknya seseorang di atas bara api yang akan membakar pakaiannya dan membakar kulitnya itu lebih baik daripada seseorang duduk di atas kubur.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab an-Nahy 'An al-Julus 'Ala al-Qabri wa al-Solat 'Alaihi, hadis no: 971]

3- Tidak solat ke arah kubur.

Daripada Abu Marsad al-Ghanawi radiallahu 'anhu, Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا
Janganlah kalian duduk di atas kubur dan janganlah kalian solat ke arahnya.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab an-Nahy 'An al-Julus 'Ala al-Qabri wa al-Solat 'Alaihi, hadis no: 972]

Huraian:

Satu-satunya solat yang dibenarkan di kubur ialah solat jenazah kerana kita tidak sempat solat sebelum jenazah ditanam. Ini berdalilkan hadis berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ أَسْوَدَ ـ رَجُلاً أَوِ امْرَأَةً ـ كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ فَمَاتَ، وَلَمْ يَعْلَمِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِمَوْتِهِ فَذَكَرَهُ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ " مَا فَعَلَ ذَلِكَ الإِنْسَانُ ". قَالُوا مَاتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ " أَفَلاَ آذَنْتُمُونِي ". فَقَالُوا إِنَّهُ كَانَ كَذَا وَكَذَا قِصَّتَهُ. قَالَ فَحَقَرُوا شَأْنَهُ. قَالَ " فَدُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ ". فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ.
Daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu bahawa seorang lelaki atau wanita berkulit hitam yang biasa membersihkan masjid telah meninggal dunia. Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam tidak mengetahui tentang kematiannya. Pada satu hari baginda teringat kepada orang tersebut lalu bertanya: Apa yang telah berlaku kepada dia? Para sahabat menjawab: Beliau telah meninggal dunia ya Rasulullah. Baginda bertanya: Kenapa kalian tidak memaklumkan kepada aku? Para sahabat menjawab: Sesungguhnya kisahnya begitu begini... seolah-olah memandang remeh kepada orang tersebut. Baginda berkata: Tunjukkan aku kuburnya. Lalu baginda pergi ke kubur orang tersebut dan solat padanya. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, Bab al-Solat 'Ala al-Qabri Ba'da Ma Yudfanu, hadis no: 1337].

4- Tidak memakai kasut.

Daripada Bashir radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam pernah melihat seseorang berjalan di kubur dengan memakai kasut, lalu baginda berkata:

يَا صَاحِبَ السِّبْتِيَّتَيْنِ وَيْحَكَ أَلْقِ سِبْتِيَّتَيْكَ " . 
Wahai orang yang memakai kasut. Celaka engkau, bukalah kasut engkau!

فَنَظَرَ الرَّجُلُ فَلَمَّا عَرَفَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَلَعَهُمَا فَرَمَى بِهِمَا .
Lelaki yang memakai kasut itu melihat (ke arah baginda). Apabila dia menyedari bahawa itu adalah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, dia terus menanggalkan kasutnya dan mencampakkan kedua-dua kasutnya.
[Sunan Abu Daud, Kitab al-Janaiz, Bab Al-Masyi Fi an-Na'li Baina Al-Qubur, hadis no: 3230, Shaikh Muqbil menyatakan ia sahih, rujuk Al-Sahih Al-Musnad].

Huraian:
Ulama berbeza pendapat tentang hukum memakai kasut di kubur. Di sisi mazhab Syafie ia tiada masalah. Manakala di sisi mazhab Ahmad ia adalah perbuatan yang makruh. Sebahagian ulama menyatakan sebab larangan ialah kerana kesombongan, penghormatan kepada si mati, kasut itu ada kotoran dan lain-lain.

Oleh itu, sebaiknya tetap tidak memakai kasut untuk keluar daripada khilaf. Akan tetapi jika kawasan kubur itu membahayakan seperti banyak duri, paku, kaca, tidaklah makruh untuk memakai kasut.

*Adab-adab di atas hanya menggariskan perkara-perkara yang disebutkan di dalam sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam.

Wallahua'lam.

-ADMIN-

Page Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith



0 comments:

Post a Comment

Thanks For Your Honest Comment. I appreciate it ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...