Monday, October 28, 2013

Dosa Dan Maksiat

Dosa dan maksiat itu boleh diumpamakan seperti racun yang dibaluti dengan gula-gula ataupun coklat yang dihias dengan indah. Sesiapa yang melihatnya sahaja akan tertarik dan terus mahu menghampirinya. Apabila sudah dekat dan berada didalam suasana dimana semua orang sudah makan gula-gula itu maka dia pula mahu mencuba.

Dilihatnya orang lain begitu asyik dan enak menikmati dosa dan maksiat seumpama berada disyurga. Mereka khayal dan tenggelam didalam dosa dan maksiat sehinggalah masa menentukan apabila gula-gula manis yang membaluti racun itu semakin hari semakin menyusut. Kemudian maka racun pula yang dimakannya dan terus masuk kedalam tubuhnya lalu menjadi darah daging.

Racun ini mula meresap kedalam tubuh orang itu dan mengalir didalam aliran darah menjadikan orang itu mabuk, lupa dan hilang akal fikirannya yang waras. Maka dirinya akan diselubungi kegelapan ataupun kejahilan menjadikannya tidak dapat membezakan yang mana haq dan yang mana bathil. Dia merasakan apa yang dibuatnya betul sedangkan ia adalah sebaliknya. Maka terjadilah sel kanser ataupun satu titik hitam didalam hatinya.

Titik hitam ini mulanya amat kecil dan mudah dibuang dengan penyesalan taubat dan istighfar. Jika dosa dan maksiat terus menerus dilakukan maka titik hitam lain pula akan muncul dan melekat didalam hati dan rohaninya. Titik-titik hitam sudah menjadi semakin membesar dan lama-kelamaan semakin hitam pekat dan gelaplah hati dan hilanglah nur keimanan didalam jiwa orang tersebut. Sehingga seluruh anggota pancainderanya sudah tidak dapat mengenal yang mana satu dosa dan yang mana satu pahala. Hati, pendengaran dan penglihatannya seolah terkunci dari mengenal hakikat Ilahi.

Taubat dan amal soleh boleh diibaratkan seperti satu ubat yang amat pahit untuk ditelan. Ubat itu pula dibaluti dengan duri dan kaca yang tajam sehingga menyebabkan tubuh kita sakit dan pedih apabila menelannya. Melihatnya sahaja membuatkan seseorang menjadi takut dan malas hendak menghampirinya kerana tidak mahu melakukan suatu perkara yang zahirnya nampak memberi mudharat kepada manusia. Untuk mengambilnya pula perlu mendisiplinkan diri didalam satu kaedah dan mujahadah yang berlawanan dengan nafsu yang hanya mahukan keseronokan.

Hanya mereka yang benar-benar meyakini bahawa ubat itu perlu diambil dan ditelan walaupun pahit dan terpaksa dilakukan dalam keterpaksaan. Walaupun hanya mendengar sahaja melalui seorang yang dipanggil Rasulullah dan dibaca melalui Kitabullah, orang itu tetap meyakini kebenaran walaupun beliau belum pernah bertemu dengan Rasulullah dan melihat ganjaran dan janji-janji Allah SWT. Maka bertaubatlah hamba itu dan beramal solehlah dia semata-mata mengharapkan keredhaan daripada Allahu Azza Wa Jalla.

Ubat yang pahit ditelan. Pengorbanan diri, harta dan masa diberi dijalan Allah SWT. Mujahadah melawan hawa nafsu dilaksanakan walaupun dalam kesusahan dan kepayahan, walaupun didalam ketidakselesaan dan kemiskinan. Ketawa bertukar menjadi tangisan. Tangisan taubat menyesali diatas segala dosa lampau. Fokusnya hanyalah janji-janji daripada Rabbnya yang hanya sedikit sahaja ganjaran didunia dan selebihnya adalah ganjaran diakhirat selepas mati. Maka ubat itu telah menjadi satu kemanisan pula didalam dirinya. Pahit sudah bertukar menjadi manis, terpaksa sudah bertukar menjadi rela dan sakit sudah bertukar menjadi sihat dan kuat.

Kekuatan iman dan kekuatan rohani menjadikan dirinya lupa kepada segala kemewahan dunia yang sementara. Lupa juga kepada kesempitan dan kesusahan hidup didunia. Maka sibuklah dirinya beribadah dan bermunajat kepada Yang Maha Esa, berduaan memadu kasih dengan Ilahi, Cinta Agung sudah sebati didalam jiwa sehingga asyik dan mahsyuk didalam amal ibadah serta zikrullah menjadi santapan rohani setiap masa susah atau senang. Pengorbanan untuk agama menjadi perkara mudah dan fikir agama sentiasa didalam akal dan lahirlah kata-kata mengajak manusia kepada Allah agar semua mendapat manfaat daripada agama yang suci dan murni.

Dengan hanya melihat dua jenis manusia ini pun sudah dapat mengetahui siapa yang berada dijalan yang benar lagi lurus berbanding siapa yang sudah jauh tersesat dijalan yang berduri. Manusia yang pada zahirnya bebas dan seronok melakukan dosa dan maksiat serta tenggelam didalam kenikmatan dunia ini rupanya telah tertipu dan berada didalam kegelapan dan buta sehingga tidak nampak cahaya. Hati mereka menjadi keluh-kesah dan tidak pernah tenang. Sehingga sampai satu tahap mereka merasakan dunia ini sudah tiada maknanya lagi sehingga ada yang sanggup mengambil nyawanya sendiri nauuzubillahi min dzalik.

Manakala manusia yang diberi hidayah oleh Allah, melihat wajahnya sahaja hati kita menjadi tenang dan tenteram. Mendengar percakapannya sahaja bertambah keimanan kita dan cintakan akhirat menjadi semakin kuat. Tampak jernih airmukanya dan keikhlasan terbayang diwajahnya. Tiada apa yang diingini didunia ini melainkan keredhaan Allah dan ganjaran diakhirat. Dia juga merindui kematian dan mahu segera bertemu dengan PenciptaNya. Allahu Akbar. Dia tidak merasakan bahawa dia lebih baik daripada orang lain walaupun dia amat meyakini bahawa dia dijalan yang benar. Hiduplah dia diantara takut dan harap, diantara Khauf dan Roja'.

Yang mana satu yang kita mahu pilih? Racun yang disaluti manisan ataupun ubat yang disaluti duri dan kaca yang menikam? Semoga Allah SWT memberi Hidayah kepada kita agar kita dapat memilih jalan yang terbaik….Allahumma Aamin. Wallahua'lam.

Read More >>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...